Wednesday, September 12, 2007

Ramadhan menjelang lagi...


Ramadhan…. bulan di antara bulan bulan Islam yang dinanti-nantikan oleh sekelian umat Islam. Satu bulan yang penuh keberkatan, keampunan dan janji-janji syurga. Bulan yang merupakan medan latihan bagi menentukan kehidupan seterusnya sehingga berjumpa Ramadhan kembali. Bulan yang berpaksikan puasa dalam mendidik peribadi Muslim dalam mengatur kehidupan seharian.

Renungkanlah… kita bangun sebelum subuh untuk sahur dan digalakkan untuk melewatkan sahur. Lantaran sudah tentu kita solat fardhu subuh di awal waktu. Bukankah ini satu latihan untuk seorang Muslim bangun setiap pagi untuk menunaikan solat subuh yang rata-rata kini kita dapati mereka tewas dengan syaitan dan senjata selimutnya. Satu aspek puasa yang kita boleh renung sedalamnya untuk dihayati bersama.

Ramadhan… bulan umat Nabi Muhammad S.A.W yang mana penuh dengan gandaan ganjaran atas amal walau sebesar zarah. Logiknya di fikiran manusia bilamana ada ganjaran yang besar atas sesuatu amal yang kecil pastinya mereka akan berebut-rebut untuk mendapatkannya. Namun, berapa ramai manusia yang tidak mengendahkannya tanpa merasa apa-apa kerugian. Modal telah diberi dengan menjanjikan keuntungan berlipat ganda. Itulah manusia kini… Tepuklah dada dan tanyalah diri kita sendiri.

Moga Ramadhan ini menjanjikan jutaan keberkatan dan maghfirah buat teman. Moga Ramadhan ini lebih baik daripada Ramadhan sebelumnya kerana belum tentu kita bertemu untuk ramadhan yang akan datang.

No comments: